Air: Pengalir Kehidupan (Bahagian Kedua)

Baca bahagian pertama di sini.

Sektor perindustrian dan pembuatan amat memerlukan air, bermula daripada aktiviti pengeluaran sehinggalah proses pembersihan. Tanpa air, pembuatan dan pengeluaran akan terhenti dan menjejaskan pendapatan para pengusaha.  Kesannya turut dirasai oleh negara apabila sesetengah produk yang dihasilkan adalah untuk tujuan eksport.  Manusia turut menjadikan sungai, tasik dan kolam sebagai tempat untuk bersukan dan beriadah. Antara acara sukan yang menggunakan air ialah rakit redah jeram (white water rafting), perahu naga dan berkayak. Dari segi riadah pula, banyak sungai di Malaysia dijadikan sebagai kawasan perkelahan dan rekreasi.  Contohnya, Sungai Gombak di Selangor, Sungai Benus di Janda Baik, Pahang serta Hutan Lipur Gunung Tampin di Negeri Sembilan.  Di bandar-bandar seperti Kuala Lumpur, terdapat tasik dan kolam untuk orang ramai beriadah, contohnya, Taman Tasik Titiwangsa, Taman Tasik Ampang serta Taman Tasik Perdana.  Di tempat-tempat tersebut terdapat kemudahan-kemudahan seperti rekreasi berbasikal, kayak, trek joging dan taman permainan kanak-kanak untuk kegunaan orang ramai.

Sukan rakit redah jeram. Sumber: www.therealdealtours.com

Mengetahui begitu besarnya peranan serta kepentingan air kepada manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan, adalah wajar untuk kita sentiasa memelihara kebersihan sungai, tasik dan kolam.  Ini adalah untuk memastikan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan sentiasa mendapat bekalan air yang bersih lagi berkualiti tinggi.  Namun hakikatnya apa yang berlaku pada hari ini adalah kebanyakan sungai di Malaysia telah tercemar khususnya yang mengalir melalui kawasan-kawasan berpenduduk padat dan perindustrian. Antara punca-punca utama pencemaran sumber air yang dikenal pasti termasuklah:

  • Pembuangan sisa toksik daripada kilang-kilang
  • Pembuangan sampah sarap dan sisa buangan
  • Sikap tidak ambil peduli tentang kebersihan alam sekitar
  • Kelemahan penguatkuasaan

Pencemaran air menganggu-gugat kehidupan manusia. Sumber: microbewiki.kenyon.edu

Pencemaran sungai, tasik dan kolam adalah hasil daripada perbuatan tangan-tangan manusia sendiri. Maka, amat wajar bagi manusia memulihara kembali dan seterusnya memelihara kebersihan serta kualiti air daripada sumber-sumber tersebut. Bagaimanakah matlamat tersebut dapat dicapai?  Apa yang perlu dilakukan?  Manusia boleh mengamalkan Konsep 5R sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka. Apakah yang dimaksudkan dengan Konsep 5R?

Elak (Refuse) – mengelak daripada melakukan kegiatan yang boleh mencemarkan air.

Kurang (Reduce) – pengurangan ke tahap maksimum penggunaan ke atas produk-produk atau kegiatan yang boleh mencemarkan air.

Guna semula (Reuse) – melakukan kegiatan yang boleh digunakan berulang-ulang kali seperti menggunakan air basuh beras atau lebihan air wudhu’ untuk menyiram pokok bunga.

Tuju semula (Repurpose) – mempelbagaikan kegunaan air ke arah kebaikan, penjimatan dan dapat memberi pulangan hasil yang bernilai seperti tenaga yang diperbaharui (renewable energy).  Contohnya, penggunaan arus air laut atau sungai untuk menjana tenaga elektrik.

Kitar semula (Recycle) – melakukan penjimatan dengan mengitar semula air seperti menyimpan air hujan atau dari sumber lain dan boleh digunakan untuk kegunaan lain yang bermanfaat.

Tamsilnya, manusia perlu mengubah sikap dengan tidak mengambil jalan mudah membuang sampah-sarap dan sisa secara tidak bertanggungjawab kepada kaedah yang sistematik. Keprihatinan terhadap keadaan alam sekitar amat penting bagi mengurangkan pencemaran sumber-sumber air.  Manusia juga dianjurkan supaya lebih berhemah dalam penggunaan air disebabkan oleh jumlahnya yang terhad.  Sentiasa ingat bahawa air yang sedia ada dikongsi bersama dengan makhluk-makhluk lain dan berterusan sehingga ke generasi akan datang.

MENGENAI PENGARANG

+ ARTIKEL TERDAHULU

Latar belakang pendidikan :
Master in Business Administration, Universiti Utara Malaysia
Aktiviti :
1. Terlibat dengan kerja-kerja sukarela semenjak tahun 2008 khususnya berkaitan alam sekitar bersama dengan pelbagai NGO dan agensi kerajaan seperti WWF, Zoo Negara, MNS, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Reach Out Malaysia, MyCAT dan Greenpeace Malaysia.
2. Merupakan pengasas dan setiausaha Kelab Sayangi Alam Sekitar Gombak.
3. Penceramah untuk topik-topik alam sekitar, khususnya Pengurusan Sisa Minyak Masak Daripada Rumah.
4. Merancang program-program alam sekitar untuk Greenpeace Malaysia.

4 thoughts on “Air: Pengalir Kehidupan (Bahagian Kedua)”

  1. Pingback: Air: Pengalir Kehidupan (Bahagian Pertama) – Angkasfera
  2. Trackback: Air: Pengalir Kehidupan (Bahagian Pertama) – Angkasfera

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

9 + 14 =