Air: Pengalir Kehidupan (Bahagian Pertama)

Air, sejenis cecair tawar, tidak berbau, hampir tidak berwarna, merupakan keperluan kepada semua benda hidup dan komponen utama bumi.  Ia meliputi kawasan seluas 70% bumi, yang mana 98% daripadanya adalah air masin dalam bentuk laut dan lautan, ais atau glasier serta wap air.  Hanya dua peratus 2% merupakan air tawar dalam bentuk sungai, tasik dan kolam semulajadi.  Sumber-sumber air tawar inilah yang menjadi nadi kelangsungan hidup semua makhluk bernyawa.

Air yang boleh digunakan manusia hanya merangkumi 2% daripada jumlah air di permukaan bumi. Sumber: www.phys.org

Air amat penting kepada manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.  Manusia dan haiwan perlukan air untuk minum seterusnya memastikan tubuh badan kekal sihat.  Sekiranya badan kekurangan air, kesihatan manusia akan terjejas dan mengundang pelbagai komplikasi misalnya kerosakan buah pinggang serta kekeringan dan kegatalan kulit.  Manusia juga memerlukan air untuk melakukan aktiviti harian mereka seperti mencuci dan memasak.

Dalam bidang pertanian pula, air sangat penting untuk tujuan pengairan.  Air merupakan salah satu elemen untuk membuat makanan selain daripada cahaya matahari dan udara.  Tanpa air pokok tidak akan tumbuh, ladang dan kebun yang diusahakan oleh petani serta peladang tidak akan menjadi.  Kesannya, manusia akan mengalami kekurangan makanan.  Sungai, tasik dan kolam membekalkan manusia dan haiwan dengan ikan yang merupakan sumber protein kepada manusia dan haiwan.  Andainya sumber-sumber air ini dicemari, maka bekalan utama untuk protein akan terjejas

Sungai menyediakan laluan pengangkutan air untuk membawa barang-barang keperluan dari pelabuhan di pesisir pantai ke kawasan-kawasan berpenduduk di pedalaman.  Contoh terbaik adalah di Sabah dan Sarawak yang mana pengangkutan air menggunakan sungai adalah lebih murah dan menjimatkan kerana tidak perlu membasmi hutan untuk membina jalan raya.  Pembasmian hutan (deforestation) akan menjejaskan ekosistem di kawasan terbabit.  Tambahan pula, laluan darat tidak menjamin keselamatan pengguna jalan raya.  Begitulah dengan apa yang berlaku di Kanada yang mana bandar-bandar yang berada di sekeliling tasik-tasik besar boleh dihubungi menggunakan kapal. 

Pengangkutan air bukan sahaja murah, tetapi tidak menganggu ekosistem kawasan sekeliling. Sumber: www.utusanborneo.com.my (Bernama)

Sungai-sungai dan tasik-tasik juga menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi dan pertumbuhan industri pelancongan sesebuah negara.  Sebagai contoh di Malaysia, terdapat kapal-kapal dan bot-bot persiaran yang membawa penumpang menyelusuri Sungai Kedah, Sungai Melaka dan Sungai Sarawak.  Di Siem Reap, Kemboja pelancong boleh menyewa bot untuk mengelilingi Tasik Tonle Sap, melihat aktiviti penangkapan ikan dan menjamu selera di restoran-restoran terapung yang terdapat di situ. 

Bahagian kedua akan mengulas mengenai peranan air dalam sektor perindustrian, punca pecemaran serta langkah mitigasi.

MENGENAI PENGARANG

+ ARTIKEL TERDAHULU

Latar belakang pendidikan :
Master in Business Administration, Universiti Utara Malaysia
Aktiviti :
1. Terlibat dengan kerja-kerja sukarela semenjak tahun 2008 khususnya berkaitan alam sekitar bersama dengan pelbagai NGO dan agensi kerajaan seperti WWF, Zoo Negara, MNS, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Reach Out Malaysia, MyCAT dan Greenpeace Malaysia.
2. Merupakan pengasas dan setiausaha Kelab Sayangi Alam Sekitar Gombak.
3. Penceramah untuk topik-topik alam sekitar, khususnya Pengurusan Sisa Minyak Masak Daripada Rumah.
4. Merancang program-program alam sekitar untuk Greenpeace Malaysia.

5 thoughts on “Air: Pengalir Kehidupan (Bahagian Pertama)”

  1. Pingback: Air: Pengalir Kehidupan (Bahagian Kedua) – Angkasfera
  2. Trackback: Air: Pengalir Kehidupan (Bahagian Kedua) – Angkasfera

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

3 × four =