Pemetaan Stres Tumbuhan dengan Penderiaan Jauh

Browse By

Hutan hujan Amazon adalah gabungan tanaman, haiwan, aliran air dan corak cuaca unik yang hanya terjadi di lokasi berkenaan. Tanaman hujan hutan yang padat menjadikannya sukar untuk dikaji selama bertahun-tahun. Dengan menggunakan teknologi satelit masa kini, saintis boleh ‘meneropong’  lapisan berlainan hutan untuk menjalankan penyelidikan mereka walaupun masih bergantung pada data yang dikumpulkan oleh para penyelidik di lapangan.

Mengesan Stres Tumbuhan Amazon

Walaupun Amazon mempunyai keluasan yang sangat besar, ia masih tidak mampu menangkis kesan perubahan iklim. Aktiviti manusia dan aktiviti alam semula jadi memberi impak kepada kawasan ini yang juga dikenali sebagai paru-paru Bumi. Antara punca kemusnahan hutan termasuklah kegiatan pembalakan, pembakaran hutan oleh manusia, dan kebakaran disebabkan oleh peningkatan suhu bumi. Penyelidik kini dapat menggunakan satelit bukan sahaja untuk mengesan kemusnahan hutan hujan, tetapi juga untuk mengesan stres tumbuhan di kawasan tersebut. Pengesanan stres membolehkan saintis dan penggiat pemuliharaan untuk mengenalpasti lokasi kawasan tumbuhan yang terdedah kepada kebakaran hutan dan bahaya lain yang disebabkan oleh alam semula jadi.

NASA ECOSTRESS

NASA telah memasang sebuah peranti pengawasan di Stesen Angkasa Antarabangsa yang dapat mengesan perubahan suhu tumbuhan menggunakan radiometer. Sistem ini dikenali sebagai Eksperimen Radiometer Terma Bawaan-Angkasa ECOsystems di Stesen Angkasa (ECOsystems Spaceborne Thermal Radiometer Experiment on Space Station, ECOSTRESS). Radiometer ini mengesan perubahan dalam sejat-peluhan (evapotranspiration) tumbuhan. Sejat-peluhan adalah jumlah air yang dikeluarkan oleh tumbuhan untuk mengekalkan suhu. Tumbuhan dalam keadaan panas akan melepaskan air yang kurang kerana mereka cuba mengekalkan suhunya; manakala tumbuhan di kawasan yang banyak air akan dapat melepaskan lebih banyak wap air kerana mereka mempunyai sumber air yang cukup untuk mengekalkan suhu mereka. Haba yang berlebihan dan hujan yang sedikit boleh menjejaskan kadar sejat-peluhan tumbuhan.

Gambar 1. Peta menunjukkan tekanan penyejatan di sebahagian kawasan kajian di sebelah barat hutan hujan Amazon yang dicerap oleh ECOSTRESS dari 19-26 Ogos 2019.

Imej/peta: Lauren Dauphin, menggunakan data MODIS dari NASA EOSDIS/LANCE,GIBS/Worldview, dan data tekanan penyejatan daripada ECOSTRESS.

Tenaga terma inframerah yang dipancarkan oleh tumbuhan akan dicerap oleh radiometer. Data ini boleh digunakan untuk menunjukkan kawasan hutan hujan yang lebih kering daripada biasa, dan mungkin terdedah kepada kebakaran hutan. Selain itu, data ini boleh digunakan untuk menunjukkan bagaimana tumbuhan bertindak balas terhadap kenaikan suhu global dan perubahan iklim. Setakat ini, data yang telah dikumpulmenunjukkan bahawa kawasan bertekanan tinggi lebih terjejas oleh kebakaran di Amazon; walau bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan sama ada kebakaran hutan menyebabkan tekanan tumbuhan atau tekanan ini sudah terjadi sebelum kebakaran lagi.

Masih banyak yang belum diketahui mengenai punca spesies tumbuhan tertentu lebih berdaya tahan daripada yang lain. Data yang diperolehi menunjukkan bahawa terdapat banyak cara kita dapat melihat dunia di sekeliling kita, dan terdapat banyak lagi kebolehan tumbuhan untuk diterokai.

Rujukan

Samuelson, Arielle, Carlowicz, Mike. 18 August 2019. Retrieved from https://earthobservatory.nasa.gov/images/145823/detecting-invisible-plant-stress

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

1 × one =