Apakah Rasa Plastik?

Browse By

Anda pasti tahu! Kerana anda, saya dan kita semua pasti pernah (atau selalu) menelan plastik!

Tidak dinafikan bahawa kehidupan manusia moden tidak boleh lari daripada penggunaan plastik – membawa barangan runcit, membungkus gula-gula dan pelbagai lagi. Sedar atau tidak, kita bukan sahaja pengguna plastik, malah kita juga pemakan plastik. Setiap hari semasa kita makan atau minum, kita berkebarangkalian besar turut menelan sekali fragmen plastik halus yang dikenali sebagai mikroplastik.

Manusia telah menghasilkan 8 bilion tan plastik yang kebanyakannya selepas era 1950-an, namun, kurang daripada 10% jumlah itu telah dikitar semula. Plastik tidak mengurai (decompose), tetapi ia hanya hancur menjadi zarah-zarah halus yang akhirnya mengalir ke tasik, sungai dan laut, seterusnya mencemari air dan makanan kita. Terlalu banyak plastik dalam dunia ini sehinggakan apabila kita bernafas, puluhan ribu fragmen plastik halus disedut masuk ke dalam tubuh kita!

Disebabkan penyelidikan berkaitan mikrolplastik masih baharu, tidak banyak bukti saintifik mengenai kesannya terhadap kesihatan. Namun, terdapat bukti dalam haiwan yang menunjukkan mikroplastik boleh menembusi membran keras yang melindungi otak daripada bendasing yang memasuki salur darah. Tambahan lagi, kajian turut mendapati bahawa ibu mungkin memindahkan mikroplastik kepada janinnya (fetus) melalui uri (placenta).

Pete Myers, profesor di Universiti Carnegie Mellon berkata bahawa zarah mikroplastik boleh melarutresapkan (leach) bisfenol-A dan ftalat (phthalate). Bisfenol dan ftalat diketahui boleh mengganggu hormon dan pendedahan berterusan terhadapnya memberi kesan kepada kesuburan lelaki dan wanita. Stirena (styrene), sejenis bahan kimia dalam plastik dan pembungkus makanan, dikaitkan dengan beberapa masalah kesihatan termasuklah sistem saraf, kehilangan pendengaran dan barah.

“Tapi.. berapa banyak je plastik yang saya makan? Tak mungkinlah banyak sangat!”

– Anda yang sedang membaca

Sebuah kajian yang diterbitkan pada Jun lalu mendapati bahawa hanya dengan makan, minum dan bernafas, seseorang rakyat Amerika Syarikat sekurang-kurangnya menelan 74,000 zarah mikroplastik setiap tahun. Sebuah kajian lain pula oleh penyelidik dari Universiti Newcastle Australia mendapati bahawa seseorang individu makan kira-kira 5 gram plastik seminggu – bersamaan dengan sekeping kad kredit!

Lihat kad kredit ini. Bayangkan anda menelannya setiap minggu. Bukan. Anda bukan menemui kaedah pembayaran nirtunai terbina dalam badan.

Anda mungkin tidak boleh mengelakkan diri dari plastik sepenuhnya (buat masa ini), tetapi langkah berikut boleh mengurangkan jumlah plastik yang anda makan secara tidak sengaja:

  • Elakkan minum air botol; ia mengandungi dua kali ganda plastik berbanding air paip.
  • Jangan panaskan makanan dalam bekas plastik; proses pelarutresapan plastik ke dalam makanan boleh barlaku.
  • Elakkan produk plastik berkod kitar semula 3,6 dan 7; ia mengandungi ftalat, stirena dan bisfenol. Cari produk plastik berlabel biobased dan greenware kerana ia tidak mengandungi bahan-bahan kimia tersebut.
  • Bersihkan habuk di rumah; gunakan penyedut hampagas bagi mengurangkan pendedahan mikroplastik di rumah.
  • Kurangkan penggunaan plastik secara keseluruhan; bukan sahaja ia mengurangkan risiko kesihatan, ia juga mewujudkan alam sekitar yang lebih mapan.

Selepas ini, jika juruwang di kedai-kedai runcit bertanya jika anda perlukan beg plastik, katakan tidak. Anda bakal menyelamatkan kesihatan, alam sekitar dan juga 20 sen anda!

Rujukan:

https://www.washingtonpost.com/health/youre-literally-eating-microplastics-how-you-can-cut-down-exposure-to-them/2019/10/04/22ebdfb6-e17a-11e9-8dc8-498eabc129a0_story.html

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2 × 1 =