Sains dan Seni Saling Melengkapi

Seringkali terjadi di Malaysia, perbualan antara pelajar lepasan SPM mahupun yang sedang melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi; “Kau ambil course apa?”, “Aku ambil engineering”, ada yang menjawab “Aku ambil bioteknologi” dan sebagainya. Namun, apabila ada yang menjawab “Aku ambil seni visual”, rakan-rakan yang lainnya seakan memberi reaksi biasa dengan nada, “Oh… okay”. Berbeza pula dengan mereka yang mengambil kos ‘gah’ seperti kejuruteraan dan sains yang mana lazimnya disambut dengan nada kagum seperti “wow power-lah kau!”. Perkara sebegini berlaku dalam kalangan besar rakyat Malaysia kerana mereka memandang enteng akan kursus seni yang dianggap tiada masa hadapan.

Tetapi tahukah anda, pada zaman dahulu, terdapat beberapa ahli saintis yang terdiri daripada golongan seniman? Saintis mungkin menjalankan kajian dan analisis yang terperinci, mencerna segala nombor, menerbitkan rumus serta memerihalkan kejadian alam secara empirikal. Namun, masihkah kita ingat kisah seorang saintis Yunani, Archimedes yang bekerja siang dan malam untuk menjawab satu persoalan; akhirnya berjaya diselesaikan semasa beliau sedang mandi pada satu malam dan mendapat ilham lalu menjerit “Eureka!” selepas jawapan kepada masalahnya itu muncul secara sendiri. Kisah ini menunjukkan bahawa ilham juga penting kepada saintis, bukan hanya kepada seniman.

Artikel kali ini memberikan contoh beberapa ahli saintis yang mendukung seni sebagai kerjaya dalam kehidupan mereka.

  • Samuel Morse
    Seperti namanya, Samuel FB Morse adalah pencipta kod morse. Tetapi ciptaannya itu tidak terhenti setakat itu sahaja, beliau juga adalah salah seorang daripada saintis yang mencipta telegraf. Walaupun mempunyai kerjaya yang menakjubkan sebagai pencipta, Morse juga suka kepada lukisan. Bukan sahaja meminati lukisan, tetapi karyanya juga mengagumkan. Dia memutuskan untuk menjadi pelukis selain pekerjaannya sebagai pencipta.
  • Leonardo da Vinci
    Bila berbicara tentang Da Vincci, masyarakat akan memikirkan tentang lukisan tersohornya, Monalisa. Walau bagaimanapun, Da Vincci juga dikenali kerana eksperimennya yang ‘gila’ tetapi bijak. Beliau adalah orang yang mengetengahkan idea dalam mekanisma penerbangan, kuasa solar dan kenderaan berperisai.
  • Johann Wolfgang von Goethe
    Penyair Jerman yang termasyhur, Johan Wolfgang terkenal dengan karya-karya seperti The Sorrow of Young Werther dan Faust. Goethe tidak melihat ada jurang perbezaan antara karya puisinya dan minatnya terhadap sains. Disamping karya sasteranya, Goethe menerbitkan buku-buku tentang botani dan teori warna yang memberikan sumbangan besar terhadap sains pada masa itu. Bahkan beliau turut menemukan cabang baru dalam bidang sains iaitu morfologi atau kajian tentang bentuk dengan bukunya yang bertajuk On the Metamorphoses of Plants yang diterbitkan pada tahun 1790.
Johann Wolfgang von Goethe. Sumber: Linda Hall Library
  • Beatrix potter
    Beatrix Potter adalah salah seorang penulis buku kanak-kanak yang paling laris di dunia. Beliau telah menulis sebanyak 28 buku, dimana sebanyak 100 juta salinan telah terjual. Karya terbaiknya adalah The tale of Peter Rabbit. Menjadi anak perempuan kepada sebuah keluarga British pada abad ke-19, pendidikan bukanlah suatu yang dapat dikecapi oleh Potter, tetapi kekangan untuk mendapat pendidikan formal tidak menghalangnya untuk belajar bersendirian. Sebelum umurnya mencecah 30, dia telah menjadi ahli alamiah (naturalist) yang mahir dan bersungguh-sungguh. Beliau mengkaji tumbuhan dan haiwan dan belajar untuk membuat lukisan sambil melihat melalui teleskop.
  • Hedy laMarr
    Hedy laMarr adalah bintang filem dari Austria yang terkenal dengan perananya dalam filem Algiers dan Samsons and Delilah. Kedua-duanya dicalonkan untuk Oscars. Tetapi apa yang masyarakat tidak tahu adalah laMarr sudah bekerja pada tahun 1941, bersama George Antheil – seorang pencipta dan komposer muzik – mencipta dan mempatenkan teknik untuk komunikasi radio dengan pantas untuk melindungi toperdo bersekutu (allied torpedo) dari dikesan oleh pihak Nazi.
Wanita dalam gambar ialah Hedy laMarr. Sumber: Kate Gabrielle (kiri) / Aaronia AG (kanan)
  • Santiago Ramon y Cajal
    Bapa kepada neurosains, Dr Santiago Ramon adalah orang yang pertama menjumpai bagaimana neuron berkomunikasi antara satu sama lain. Penemuannya mendapati bahawa neuron-neuron tidak bersentuhan antara satu sama lain dan berkomunikasi melalui isyarat elektrik dan kimia yang dihantar melalui ruang kecil antara hujung cabang neuron. Kajiannya membolehkan beliau memenangi Hadiah Nobel pada tahun 1934. Beliau adalah seniman yang berdedikasi dan bersungguh-sungguh dalam lukisan yang dilukisnya. Cajal turut memenangi anugerah berprestij dalam perubatan dan lukisannya tentang sel-sel mikroskopik dipaparkan di galeri seni dan muzium seluruh dunia.
Sumber: ZEISS Microscopy (kiri) / Wellcome Trust (kanan)
  • Alexander Borodin
    Alexander Borodin adalah anak kepada putera Georgian. Belajar bermain beberapa alat muzik dan mengarang lirik pada usia muda, dia telah menggubah karya-karya agung bagi memantapkan semangat nasionalisma Tsarist Rusia pada separuh kedua abad ke-19. Ketika sibuk menempa nama dalam sejarah muzik, beliau juga bekerja di Akademi Pembedahan Medico di Rusia, di mana beliau mengajar kimia dan melakukan penyelidikan penting mengenai aldehid. Beliau juga membantu pendidikan wanita di Rusia dengan menubuhkan kursus perubatan untuk wanita pada tahun 1872.
  • Brian May
    Ramai orang tahu akan lagenda kumpulan rock terkemuka di dunia, Queen yang terkenal dengan lagu seperti We will rock you dan Bohemian Rhapsody. Tetapi tahukah anda pemain gitar kumpulan itu iaitu Brian May adalah seorang ahli astrofizik? Brian May meninggalkan kumpulan Queen dan menyambung pengajiannya serta memperolehi ijazah doktor falsafah di Imperial College, London dengan kajiannya tentang debu antara planet (Interplanetary Dust).
Brian May. Sumber: queenonline.com
  • Mayim Bialik
    Siapa tidak kenal akan Amy Farrah Fowler dalam sitkom The Big Bang Theory? Beliau menjadi seorang ahli neurobiologi dan juga isteri kepada watak utama sitkom itu, Sheldon Cooper. Seperti watak drama lakonannya, Mayim Bialik adalah seorang ahli neurosains, dimana beliau telah memperolehi ijazah doktor falsafah dalam bidang neurosains dari UCLA. Selain The Big Bang Theory, Mayim juga terlibat dalam industri perfileman seperti filem Beaches, Pumpkinhead, Scooby-Doo.
Mayim Bialik. Sumber: CBS

Artikel diterjemah daripada:

MENGENAI PENGARANG

Penyunting di Angkasfera | johari.talib88@gmail.com | + ARTIKEL TERDAHULU

Beliau merupakan graduan sarjana sains angkasa UKM, pengkhususan dalam bidang frekuensi radio. Beliau memiliki latar belakang akademik dalam bidang kejuruteraan elektronik dan sains fizik. Beliau kini sedang bekerja dalam bidang sistem automasi bangunan sebagai Jurutera Sistem.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

18 − seven =