Lohong hitam akan menarik semua jirim di alam semesta dan akan memusnahkannya
Mitos! Lohong hitam (black hole) hanya akan menarik jirim (matter) yang berhampiran dengannya sesuai dengan kekuatan tarikan gravitinya (baca mengenai jejari Schwarzschild).
Kemungkinan terdapat lohong hitam yang sedang berputar di pusat galaksi kita, Bima Sakti.
Fakta! Terdapat bintang yang bergerak dengan kelajuan 300 km per saat di tengah-tengah galaksi Bima Sakti (Milky Way), kira-kira 25000 tahun cahaya dari Bumi. Mengekalkan orbit bagi bintang sepantas itu memerlukan jasad yang diorbitnya mempunyai graviti 2.5 juta kali ganda Matahari. Ramai ahli astronomi berpendapat jasad sebesar dan sepadat ini adalah lohong hitam.
Lohong hitam mempunyai isipadu yang besar
Mitos! Isipadu lohong hitam adalah menghampiri sifar. Apabila isipadu berkurang, ketumpatan meningkat.
Cahaya tidak dapat keluar dari lohong hitam
Fakta! Ketumpatan lohong hitam memerlukan halaju pelepas (escape velocity) yang lebih besar daripada kelajuan cahaya. Kawasan hitam dalam imej lohong hitam adalah kawasan di mana kelajuan cahaya tidak mampu melepasi halaju pelepas lohong hitam tersebut.
Tarikan graviti lohong hitam dirasai di semua tempat
Fakta! Sebenarnya, tarikan graviti semua objek akan dirasai di semua tempat termasuk graviti yang dihasilkan oleh badan anda. Namun, ianya bergantung kepada kekuatan graviti dan jarak objek tersebut. Jarak lohong hitam yang sangat jauh dengan Bumi (lohong hitam yang paling dekat adalah 3000 tahun cahaya jauhnya) menyebabkan kesan tarikan gravitinya boleh diabaikan.
Lama-kelamaan, Matahari akan menjadi lohong hitam
Mitos! Bintang seperti Matahari tidak mempunyai jisim yang mencukupi untuk menjadi lohong hitam.
Lohong hitam adalah bukaan kepada lubang cecacing
Mitos! Setakat ini, lubang cecacing (wormhole) masih sebuah teori. Teori tersebut menyatakan bahawa lubang cecacing adalah jalan pintas melalui ruang dan masa. Ramai yang mempercayai kewujudan lubang cecacing ini kerana ianya telah dipopularkan dalam filem-filem cereka sains.
Nantikan artikel lebih lanjut tentang lohong hitam di Angkasfera!
Terjemahan daripada What do you know about black holes? http://history.amazingspace.org/resources/explorations/blackholes/lesson/whatisit/myths.html)
Rujukan:
- https://timedotcom.files.wordpress.com/2016/09/blackhole.jpg?w=800&quality=85
- https://www.nasa.gov/sites/default/files/cygx1_ill.jpg
- https://penntoday.upenn.edu/sites/default/files/2019-04/black_hole_image_history_1024.jpg
- http://history.amazingspace.org/resources/explorations/blackholes/lesson/whatisit/myths.html
MENGENAI PENGARANG
Beliau sedang melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah dalam bidang sains angkasa. Berpendapat bahawa seseorang itu tidak seharusnya berhenti menuntut ilmu, beliau berharap portal ini dapat menginspirasikan masyarakat untuk belajar dan lebih mengenali alam semesta kita.