Internet Benda: Apa Benda?

Internet Benda (Internet of Things) merujuk kepada berbilion-bilion peranti fizikal di seluruh dunia yang terhubung dengan Internet serta mengumpul dan berkongsi data. Disebabkan penciptaan pemproses dan jaringan nirwayar (wireless) yang murah dan meluas, kini tidak lagi mustahil untuk mengalu-alukan sebarang benda – sama ada sebiji pil atau kereta swapandu (self-driving car) waima sebuah kapal terbang – ke dalam keluarga besar Internet Benda (IB). Teknologi ini menokok kecerdasan digital kepada peranti-peranti yang dahulunya dungu dan membolehkan ia berhubung antara satu sama lain dalam masa nyata tanpa sebarang penglibatan manusia.

Teknologi Internet Benda memungkinkan peranti seharian untuk berhubung antara satu sama lain melalui sambungan Internet. Sumber: makalah asal.

Bagaimana Internet Benda bermula?

Idea untuk memasang sensor dan kecerdasan pada benda-benda biasa tercetus seawal 1980-an, walau bagaimanapun – selain daripada mesin layan diri terhubung Internet – perkembangan dalam teknologi ini agak lembap. Penggunaan tag RFID iaitu cip berkuasa rendah yang mampu berhubung nirwayar, dan perluasan Internet jalur lebar serta selular merupakan pemacu kepada perkembangan ini. Selain itu, penggunaan IPv6 mampu menyediakan alamat IP yang cukup untuk menampung segala peranti IB di dunia. Kevin Ashton memperkenalkan ungkapan Internet Benda pada tahun 1999, meskipun umat dunia mengambil masa hampir sedekad kemudian untuk merealisasikan wawasan beliau.

Apa benda yang boleh dijadikan peranti Internet Benda?

Sebarang benda, sekiranya ia mampu dihubungkan dengan Internet, boleh diubah kepada peranti IB dan membolehkan ia dikawal melalui keterhubungan ini. Sebuah mentol lampu yang boleh dinyalakan menggunakan aplikasi telefon pintar, sensor gerakan atau termostat pintar di pejabat atau lampu-lampu jalan terhubung – semua ini hanyalah beberapa contoh peranti IB. Dalam skala lebih besar, teknologi IB dimanfaatkan dalam perancangan bandar pintar yang mana sensor dipasang di seluruh bandar bagi membantu kita memantau dan mengawal persekitarannya.

Istilah IB hanya digunakan bagi peranti yang lazimnya tidak mempunyai sambungan Internet atau mampu berhubung dengan jaringan secara kendiri tanpa bantuan manusia. Disebabkan ini, komputer atau telefon peribadi tidak digelar peranti IB walaupun masing-masing dilengkapi sambungan Internet pantas dan disumbat pelbagi sensor. Walau bagaimanapun, jam tangan pintar, gelang kecergasan atau sebarang peranti boleh pakai (wearables) boleh digolongkan sebagai peranti IB.

Apa selepas ini?
Setiap tahun, jumlah peranti IB meningkat dengan mendadak iaitu 8.4 bilion pada tahun 2017, 11.2 bilion pada tahun 2018, dan pada kadar ini, dijangkakan mencapai 20.4 bilion pada tahun 2020. Peningkatan ini sebahagiannya berpunca daripada penurunan kos untuk menambah sambungan Internet dan sensor pada peranti atau perkakasan, dan pakar meramalkan kos ini akan mencecah serendah 10 sen sahaja! Berbanding 7.7 bilion manusia di muka Bumi, tidak hairanlah jika dalam masa 5 tahun akan datang, setiap orang mempunyai puluhan peranti IB di sekeliling kita.

Bilangan peranti IB (dalam unit juta) dari tahun 2016 hingga 2020. Sumber: Gartner (Januari 2017).

Penciptaan IB sesungguhnya membawa manfaat besar kepada kita semua, namun, terdapat kegusaran mengenai isu keselamatannya. Sensor-sensor ini mengumpul data-data sensitif pengguna yang tidak lari daripada risiko digodam. Penyelidik mengganggarkan sejumlah 100,000 kamera web boleh digodam dengan mudah manakala jam tangan pintar kanak-kanak boleh digodam bagi mendapatkan data kedudukan dan menguping perbualan. Natijahnya, persoalan sama ada IB merupakan anugerah Tuhan atau pembawa sial, berbalik kepada kita sebagai pengguna.

Rujukan
Makalah ini diterjemahkan daripada laman sesawang https://www.zdnet.com/article/what-is-the-internet-of-things-everything-you-need-to-know-about-the-iot-right-now/

MENGENAI PENGARANG

Penyunting di Angkasfera | mkhairuladibmyusof@gmail.com | + ARTIKEL TERDAHULU

Beliau merupakan penerima ijazah sarjana muda fizik (UPM) dan doktor falsafah dalam sains angkasa (UKM). Kini, beliau merupakan pensyarah kanan di Jabatan Fizik, Fakulti Sains, UPM. Beliau percaya bahawa ahli akademik merupakan wadah yang menghubungkan masyarakat dengan ilmu aras tinggi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

7 + three =