Lima Perkara yang Anda Perlu Tahu Mengenai Litupan Ais Greenland

Keluasan Greenland dianggarkan tiga kali ganda keluasan Texas, Amerika Syarikat dan hampir sepenuhnya dilitupi ais. Pada 25 hingga 31 Ogos 2019 sahaja, dianggarkan 12 bilion tan ais telah mencair dan terpisah dari apungan ais di kutub. National Snow and Ice Data Center di Greenland menganggarkan antara 30 Julai sehingga 3 Ogos yang lalu, telah berlaku pencairan sebanyak 55 bilion tan daripada apungan ais. Ini adalah 40 bilion tan melebihi daripada purata sejarah (historical average). Pada kadar ini, pencairan ais bakal melepasi tahap tertinggi dalam tempoh 350 tahun.

Kami telah mengumpulkan lima fakta mengenai litupan ais (ice sheet) Greenland dari data Resource Watch, dan penyelidikan yang dijalankan baru-baru ini:

  • 1. Setiap musim panas litupan ais Greenland akan mencair, dan pencairan ais dianggarkan sebanyak 286 gigaton setahun. Satu gigaton bersamaan satu bilion tan air yang cukup untuk mengisi kira-kira 400,000 kolam renang bersaiz Olimpik. Dalam carta di bawah, anda boleh melihat pola kemerosotan jisim ais (ice mass) pada tahun 2012. Antara Januari 2012 dan Januari 2013 sahaja, Greenland kehilangan sekitar 450 bilion tan ais.
  • 2. Musim pencairan ais telah bermula pada awal tahun ini. Imej dari satelit mendapati bahawa lengkungan ais (ice arch) yang terdapat antara Greenland dan Ellesmere Island telah terpisah pada bulan Mac tahun ini, lebih awal dari waktu yang dianggarkan. Menurut NASA, lengkungan ais ini berfungsi sebagai penghalang supaya bongkahan ais tidak terkeluar dari Lautan Artik dan dibawa arus ke Teluk Baffin.
  • 3. Para saintis mendapati metana yang dibebaskan dari bawah litupan ais Greenland semasa musim pencairan berpunca dari karbon kuno organik dan tak organik yang terbenam di bawah litupan ais. Sumber pembebasan metana ini tidak dinilai dalam jatah karbon global (global carbon budget) dan gas ini 28 kali ganda lebih kuat berbanding karbon dioksida, menurut para penyelidik.
  • 4. Pencairan ais di darat dari glasier atau litupan ais merupakan salah satu daripada dua punca yang memacu kenaikan aras laut (Punca yang kedua ialah pengembangan terma (thermal expansion) kerana air mengembang (expands) apabila suhunya meningkat). Para penyelidik menganggarkan pencairan ais di daerah di Artik menyumbang kepada 35% kenaikan aras laut sejak kebelakangan ini.
  • 5. Semakin pantas pencairan di Artik, semakin meningkat aras laut. Pencairan litupan ais di Greenland sahaja telah menyumbang kepada 5 cm hingga 33 cm (2 inci hingga 13 inci) kenaikan aras laut menjelang akhir abad ini. Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) menganggarkan kenaikan suhu sebanyak 2 darjah Celsius sahaja mampu meningkat aras laut kepada 36 cm (1.2 kaki) hingga 87 cm (2.9 kaki) menjelang 2100. Data Climate Central dalam rajah berikut menunjukkan kawasan yang berisiko ditenggelami laut hanya dengan kenaikan sebanyak 0.5 m.

Rujukan

Penulisan ini diterjemah dari laman sesawang https://www.geospatialworld.net/blogs/five-things-you-should-know-about-greenlands-ice-sheet/

MENGENAI PENGARANG

Penyunting di Angkasfera | enfaizarif@gmail.com | + ARTIKEL TERDAHULU

Beliau merupakan graduan sarjana sains geospatial berteraskan dron fotogrametri. Menegaskan penulisan ilmu kerana ilmu yang tidak ditulis bakal hilang dimamah masa.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

five × 1 =