Penderiaan Guli Biru dari Jarak Jauh

Guli Biru (The Blue Marble) merupakan imej Bumi yang diambil oleh anak kapal pesawat angkasa lepas Apollo 17 pada jarak 29 000 kilometer dari permukaan Bumi menggunakan teknik penderiaan jarak jauh (remote sensing). Imej ini juga menunjukkan Bumi yang hampir disinari sepenuhnya kerana imej ini diambil sewaktu Matahari berada di belakang pesawat.

Gambar bumi yang dilihat dari angkasa lepas. Ihsan : https://en.wikipedia.org

Penderiaan jarak jauh merupakan teknik pemerolehan maklumat tentang sesuatu objek atau fenomena tanpa perlu melakukan sentuhan fizikal dengan objek berkenaan. Bunyinya rumit tetapi kita hanya perlu membayangkan seperti sebuah kamera yang mengambil gambar rangka glob bumi. Tanpa perlu mengambil pembaris atau jangka lukis, permukaan glob dapat dilihat dan dianalisa berdasarkan gambar yang diambil.

Penderiaan jarak jauh terbahagi kepada 2 jenis penderia (sensor); iaitu penderia pasif dan penderia aktif. Penderia pasif merujuk kepada jenis penderia yang mengesan signal daripada pantulan cahaya matahari di muka bumi, manakala penderia aktif pula merujuk kepada penderia yang menghasilkan signalnya sendiri.

Ilustrasi penderiaan jarak jauh; pasif dan aktif.
Ihsan : https://en.wikipedia.org

Kualiti data penderia jarak jauh bergantung kepada 4 jenis resolusi iaitu; resolusi ruangan (spatial resolution), resolusi spektrum (spectral resolution), resolusi radiometri (radiometric resolution) dan resolusi temporal (temporal resolution). Setiap resolusi ini memainkan peranan penting kerana satelit yang berbeza menyediakan kemampuan resolusi yang berlainan. Sebagai contoh satelit Landsat 8 mempunyai kemampuan resolusi yang lebih tinggi berbanding Landsat 7, akan tetapi untuk menjalankan Analisa yang memerlukan siri masa terdahulu, Landsat 7 mempunyai lebih banyak gambar arkib kerana ianya telah dilancarkan terlebih dahulu berbanding Landsat 8.

Penggunaan penderiaan jarak jauh ternyata banyak memberi manfaat kepada manusiawi dari segi pemantauan, pemetaan, pengukuran, penjejakan, dan pengurusan. Sebagai contoh, penderia jarak jauh digunakan dalam pemantauan perubahan garis pesisir pantai, pemetaan pokok paya bakau, pengukuran suhu laut, penjejakan puting beliung dan pengurusan gunatanah. Situasi yang paling terkini dalam penggunaan penderia jarak jauh adalah pemantauan kerosakan akibat gempa bumi di Palu.

Berdasarkan imej yang diperolehi, dapat dilihat kesan gempa bumi di Palu pada gunatanah, kekeruhan air, dan infrastruktur secara amnya di Palu. (Penulis ingin mengucapkan takziah kepada mangsa tragedi di Palu, semoga Palu dapat kembali pulih sejahtera).

Gambar tragedi gempa bumi di Palu; sebelum dan selepas kejadian. Imej ihsan DigitalGlobe

Tahukah anda? Imej satelit Landsat boleh dimuat turun secara percuma dengan mencapai di alamat jaringan; https://earthexplorer.usgs.gov/ selamat mencuba!

Rujukan

Schowengerdt, Robert A. (2007). Remote sensing: models and methods for image processing (3rd ed.). Academic Press. p. 2. ISBN 978-0-12-369407-2.

Schott, John Robert (2007). Remote sensing: the image chain approach(2nd ed.). Oxford University Press. p. 1. ISBN 978-0-19-517817-3.

https://www.usgs.gov/faqs/what-remote-sensing-and-what-it-used

https://oceanservice.noaa.gov/facts/remotesensing.html

https://www.isprs.org/caravan/documents/Lao_Basic_RS.pdf

MENGENAI PENGARANG

Penyunting di Angkasfera | enfaizarif@gmail.com | + ARTIKEL TERDAHULU

Beliau merupakan graduan sarjana sains geospatial berteraskan dron fotogrametri. Menegaskan penulisan ilmu kerana ilmu yang tidak ditulis bakal hilang dimamah masa.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

five × 1 =