![](https://angkasfera.com/wp-content/uploads/2018/12/http___pluspng.com_img-png_sunny-sky-png-welcome-to-sunny-skies-1050-1024x684.jpg)
Sumber: http://pluspng.com
Keterujaan Syabab melihat kapal terbang yang gah merentasi langit tiba-tiba terhenti, matanya dipejam kuat, silauan sinaran Matahari membuatkan Syabab pening seketika. Terlintas di fikirannya bagaimana Matahari yang beratus juta kilometer dari Bumi mampu bersinar terang dan cahayanya sampai ke Bumi. Syabab bermonolog sendiri “Oh! Hari ni ada kelas cikgu Farhan, yes! Boleh la aku tanya soalan ini dengan cikgu”.
Syabab pelajar darjah 6 sekolah rendah Al-Amin. Dia bersiap lebih awal hari ini untuk menghadiri sekolah sesi petang. Kakinya berjalan laju menuju ke kelas. Akhirnya dia ada soalan yang hendak ditanya kepada cikgu, kerana kebiasaannya di akhir waktu pembelajaran sains, cikgu Farhan akan membuka ruang kepada pelajarnya untuk bertanya apa jua soalan berkenaan fenomena sains yang berlaku di sekitar mereka, malahan cikgu akan memberi imbuhan kepada murid-muridnya yang bertanya soalan. Kata cikgu, dengan cara begitu diharap pelajar-pelajar dapat berfikir, mengkaji dan lebih memahami fenomena sains yang berlaku di sekeliling mereka. Hal ini kerana kadang-kadang pembelajaran di luar bilik darjah ini lebih mudah difahami berbanding menghafal teori daripada buku.
Seperti biasa di penghujung waktu cikgu Farhan membuka soalan, “Jika minggu lepas Aiman bertanya tentang tarikan elektrostatik yang dirasakan sewaktu menutup televisyen, hari ini cikgu nak buka soalan kepada pelajar-pelajar lain. Apa yang kamu tidak faham tentang kejadian sains yang berlaku di sekeliling kamu?”. Syabab mengangkat tangan laju, “Cikgu, Syabab ada soalan. Macam mana Matahari boleh bercahaya? Dan bagaimana cahaya Matahari boleh sampai ke Bumi sedangkan cikgu ajar jarak antara Bumi dan Matahari saaangat jauh 152 juta km? Itu sahaja soalan Syabab, jazakallah cikgu”. Cikgu Farhan menyambut soalan muridnya itu dengan senyuman sambil tangan memegang kapur untuk dicoret ke papan hitam. Cikgu Farhan melukis bentuk bulatan yang sangat besar, kemudian melukis beberapa lapisan di dalam bulatan tersebut. Di lapisan paling dalam cikgu labelkan sebagai teras (core), lapisan kedua dari dalam cikgu labelkan sebagai zon sinaran (radiation zone), lapisan berikutnya sebagai zon perolakan (convection zone) dan lapisan terakhir dilabel sebagai korona (corona).
![](https://angkasfera.com/wp-content/uploads/2018/12/655928main_solar-anatomy-MOS-orig_full.jpg)
Ilustrasi lapisan Matahari. Sumber: https://www.nasa.gov/
Cikgu Farhan meminta para muridnya membayangkan lukisan rentas itu sebagai sebiji buah rambutan; kulit yang berambut, isi putih yang tebal dan biji sebagai teras Matahari yang paling dalam. Sambil menunjuk ke arah biji rambutan itu, cikgu Farhan menerangkan, “Di dalam teras ini merupakan pusat janakuasa Matahari. Tekanan dan suhu yang tinggi disini menyebabkan berlakunya tindak balas nuklear yang menghasilkan hidrogen, kemudian 4 atom hidrogen akan bergabung, gabungan ini akan menghasilkan helium dan sinaran gama bertenaga tinggi”.
![](https://angkasfera.com/wp-content/uploads/2018/12/rambutan-1024x682.jpeg)
Sumber: https://indigenousbartender.com/
“Selepas itu, tenaga ini akan perlahan-lahan keluar dari teras menuju ke zon sinaran. Zon sinaran ini bagaikan bahagian isi buah rambutan tebal, meliputi 60 peratus jejari (radius) Matahari. Tenaga mengambil masa selama 170,000 tahun untuk keluar ke zon ini. Kemudian tenaga terus bergerak naik ke atas zon perolakan, lapisan korona dan terpancarlah ia sebagai cahaya. Faham semua?”, soal cikgu Farhan selepas dia menerangkan dengan panjang lebar.
Danieal, sahabat Syabab, menguatkan suara dari tempatnya yang agak belakang “Cikgu Farhan, bagaimana pula cahaya Matahari boleh sampai ke bumi dengan jarak yang beratus-ratus juta kilometer?”. Cikgu Farhan menjawab, “Danieal, setiap saat, Matahari akan menukarkan 4 juta tan hidrogen di lapisan teras kepada tenaga melalui proses yang cikgu terangkan tadi, cuba awak bayangkan Matahari sudah dianggarkan berumur 4.57 bilion tahun, maka tidak hairanlah cahayanya dapat sampai ke Bumi walaupun jarak Bumi dan Matahari sangat jauh kerana lapisan teras telah menghasilkan berjuta-juta kali ganda hidrogen untuk ditukarkan kepada tenaga dan terpancarlah ia ke Bumi sebagai cahaya”.
“Bagus soalan Syabab dan Danieal hari ini, cikgu harap semua faham penerangan cikgu tentang persoalan Syabab tadi. Sebagai imbuhan, nah cikgu hadiahkan awak sebatang pen dan buku nota, gunakan untuk mencatat fenomena sains yang awak lihat ya?”. Syabab kelihatan begitu gembira, keterujaannya melihat kapal yang menyusuri langit biru mendatangkan idea baginya untuk bertanyakan soalan. Semua pelajar berdiri, “TERIMA KASIH CIKGU, HALALKAN ILMU CIKGU, DOAKAN KAMI CIKGU!” bergema teriakan ucapan terima kasih dari pelajar 6 Budiman. Cikgu Farhan tersenyum puas sambil berjalan keluar kelas, “Tak sia-sia budak-budak ni suka makan buah rambutan, dapat juga mereka memahamkan analogi buah itu dalam masa yang singkat”, getusnya dalam hati.