Magnet di Angkasa

Kita tahu bagaimana aurora terjadi – zarah bercas dari Matahari berlanggar dengan zarah di lapisan ionosfera (ionosphere) Bumi lalu menyebabkan cahaya pelbagai warna terhasil – tapi pernahkah anda terfikir bagaimanakah zarah ini boleh bergerak dari Matahari lalu tiba di Bumi yang berjarak 149.6 juta km jauhnya? Apakah tenaga yang memacu pergerakan zarah bercas tersebut?

Jawapannya adalah, tenaga magnet.

Matahari adalah sebuah bintang yang terdiri daripada zarah bercas yang bersuhu tinggi. Zarah-zarah ini menghasilkan medan magnet secara semula jadi apabila mereka bergerak. Berbeza dengan Bumi, medan magnet yang terhasil daripada Matahari masih lagi menjadi tanda tanya para saintis!

Ilustrasi medan magnet di permukaan Matahari. Sumber: http://cdn.sci-news.com

Tenaga magnet ini akan ditukar kepada tenaga kinetik dan tenaga terma melalui proses penyambungan semula magnet (magnetic reconnection). Proses ini terjadi apabila dua medan magnet yang berlainan arah bertembung lalu membentuk medan magnet dengan arah yang baru (proses ini juga masih lagi sedang diselidik oleh ahli saintis). Tenaga kinetik tersebut akan memecutkan zarah-zarah bercas ini keluar dari Matahari. Fenomena inilah yang dipanggil suar suria (solar flare).

Ilustrasi fenomena suar suria. Sumber: https://media.giphy.com

Zarah-zarah bercas yang terbebas ini bergerak dengan corak tertentu yang menyebabkan terhasilnya medan magnet yang bergerak bersamanya. Apabila zarah-zarah ini sampai ke Bumi, proses penyambungan semula magnet berlaku sekali lagi. Jangan lupa, Bumi mempunyai medan magnetnya sendiri yang melindunginya dari angin suria. Jadi, medan magnet baru yang terbentuk akan membawa zarah-zarah ini ke arah lain menyebabkan kebanyakan zarah tersebut tidak akan masuk ke Bumi. Hanya zarah yang berjaya masuk ke lapisan atmosfera Bumi sahaja akan membentuk Cahaya Utara (Aurora Boreolis).

Gambaran proses penyambungan magnet. Sumber: https://thumbs.gfycat.com

Tahukah anda, sekiranya Bumi tidak mempunyai medan magnet yang melindunginya, ia akan menjadi kering kontang seperti planet Marikh kerana tiadanya molekul air yang dapat terbentuk.

Rujukan:

http://www.sci-news.com/astronomy/nasa-magnetic-map-sun-03707.html

https://www.nasa.gov/feature/goddard/2016/understanding-the-magnetic-sun

https://www.nasa.gov/content/goddard/science-of-magnetic-reconnection

https://gfycat.com/gifs/search/geomagnetic+field

MENGENAI PENGARANG

Penyunting di Angkasfera | nurumira.ashikin@gmail.com | + ARTIKEL TERDAHULU

Beliau sedang melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah dalam bidang sains angkasa. Berpendapat bahawa seseorang itu tidak seharusnya berhenti menuntut ilmu, beliau berharap portal ini dapat menginspirasikan masyarakat untuk belajar dan lebih mengenali alam semesta kita.

One thought on “Magnet di Angkasa”

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

2 − one =