Malaysia Meneroka Angkasa Lepas – Mampu atau Mustahil?

Angkasa lepas bermula setelah kita melepasi Garisan Karman (Karman Line) yang terletak di atas mesosfera (mesosphere) Bumi. Manusia telah bercita – cita untuk menjelajah angkasa lepas sejak beratus tahun lagi. Pada tahun 1957, Rusia berjaya melancarkan satelit yang pertama di dunia,  Prosteyshiy Sputnik-1 (Sputnik 1) ke angkasa lepas sekaligus memulakan persaingan penerokaan angkasa lepas dengan Amerika Syarikat. Kini, penerokaan angkasa lepas bukan sahaja dilakukan oleh agensi angkasa kerajaan seperti NASA malah syarikat swasta juga semakin rancak menyertainya.

Ilustrasi mengambarkan roket Falcon Heavy berlepas dari stesen angkasa Kennedy di NASA. Sumber: img.purch.com

Terdapat lebih 20 syarikat swasta di seluruh dunia yang terlibat secara langsung dalam penerokaan angkasa lepas. Sebagai contoh, SpaceX yang diasaskan oleh Elon Musk menjadi penanda aras kepada syarikat – syarikat swasta lain dalam penerokaan angkasa lepas. Misi mereka untuk meneroka Marikh tampak lebih jelas apabila pelbagai ujian dan pelancaran roket yang telah dijalankan membuahkan hasil. Syarikat ini juga berjaya memperoleh kontrak dari NASA sebanyak USD 700 juta untuk menjadi pembekal kargo kepada Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Di Malaysia pula, penerokaan angkasa lepas bermula pada November 1996 apabila satelit pertama milik Malaysia, MeaSAT 1 berjaya dilancarkan di Guiana Perancis. Seterusnya, satelit buatan Malaysia yang pertama, TiungSAT – 1 pula telah dilancarkan pada September 2000. Kedua – dua satelit ini adalah buatan syarikat swasta dari dalam dan luar negara.

Ilustrasi menunjukkan satelit TiungSAT – 1. Sumber: angkasa.gov.my

Syarikat swasta Malaysia yang terlibat dalam penerokaan angkasa seperti Astronautic Technology (ATSB) telah bekerjasama dengan syarikat luar negara Surrey Satellite Technology Ltd. untuk membina satelit pertama Malaysia, TiungSAT – 1. Seterusnya, pelbagai syarikat swasta di Malaysia cuba untuk memulakan syarikat mereka seperti Independence – X Aerospace Sdn Bhd. Syarikat ini merupakan satu – satunya pasukan dari Asia Tenggara yang menyertai Google Lunar XPrize dimana peserta perlu mencipta dan mendaratkan kapal angkasa robotik di atas permukaan Bulan.

Ilustrasi ini memaparkan logo Independence – X. Sumber: wordpress.com

Penerokaan angkasa lepas haruslah dijalankan oleh semua pihak. Hal ini kerana, semakin banyak pihak bekerjasama, semakin berkembang idea untuk melakukan sesuatu yang pada awalnya dilihat sebagai mustahil. Ini dapat dilihat di Amerika Syarikat, dimana penerokaan angkasa lepas berkembang pesat kerana semua pihak termasuk kerajaan, syarikat swasta dan universiti berganding bahu untuk memajukan bidang ini.

Selain dari itu, kerajaan juga boleh menggalakkan rakyat Malaysia untuk turut sama terlibat dalam penerokaan angkasa lepas dengan memberi bantuan seperti geran atau dana kepada syarikat yang mempunyai potensi yang besar dalam penerokaan angkasa lepas. Syarikat swasta dapat membantu agensi kerajaan membina satelit baru atau kenderaan mudah alih yang boleh digunakan di angkasa lepas.

Syarikat – syarikat swasta di Malaysia mampu untuk bersaing dengan negara lain kerana negara ini mempunyai kepakaran dalam penerokaan angkasa lepas. Ini dapat dilihat apabila banyak graduan dalam bidang aeroangkasa di Malaysia yang menceburi bidang akademik seperti di UKM, USM, UIAM dan UPM. Jika kepakaran mereka dimanfaatkan, nescaya bidang penerokaan angkasa di Malaysia dapat berkembang lebih pesat setanding dengan negara – negara maju.

Namun begitu, terdapat banyak kekangan yang perlu Malaysia tangani sebelum dapat bertanding dengan negara lain dalam bidang penerokaan angkasa lepas. Sebagai contoh, masyarakat di Malaysia terutamanya mahasiswa dan mahasiswi jarang mempunyai peluang untuk menggunakan pengetahuan mereka untuk terlibat sama meneroka angkasa lepas. Hal ini mungkin kerana Malaysia merupakan negara yang sedang membangun yang lebih mengutamakan sektor industri dalam negara berbanding sains teoretikal yang penting untuk penerokaan angkasa lepas. Hal ini menyukarkan pihak yang ingin membangunkan teknologi untuk penerokaan angkasa lepas.

Kesimpulannya, penerokaan angkasa lepas di Malaysia masih baru dan perlahan berbanding negara – negara maju yang lain. Penswastaan penerokaan angkasa lepas di Malaysia memerlukan kerjasama dari semua pihak bermula dari peringkat individu hinggalah kepada pihak kerajaan. Di samping itu, kerajaan juga boleh menggalakkan rakyat Malaysia menceburi bidang ini dengan memberi bantuan kewangan kepada pihak yang berminat. Namun begitu, beberapa halangan perlu ditangani terlebih dahulu sebagai contoh kekangan para ilmuwan yang tidak dapat mengaplikasikan ilmu mereka untuk meneroka angkasa lepas. Selain itu, kurangnya kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia tentang bidang penerokaan angkasa lepas harus dibendung terlebih dahulu agar Malaysia dapat menggalakkan penswastaan penerokaan angkasa lepas di negara ini.

Rujukan:

http://www.malaysiandigest.com/news/579780-we-ask-malaysians-what-they-think-about-sending-another-astronaut-to-space.html

https://www.pressreader.com/malaysia/the-star-malaysia-star2/20161115/282286729847281

https://www.esa.int/esaKIDSen/SEMVY5WJD1E_OurUniverse_0.html

http://www.webref.org/chemistry/s/stratopause.html

S. Sanz Fernández de Córdoba (2004-06-24). “The 100 km Boundary for Astronautics”. Fédération Aéronautique Internationale. Archived from the original on 2011-08-22. Retrieved 2014-05-07

https://www.nasa.gov/press-release/nasa-awards-international-space-station-cargo-transport-contracts

http://spacenews.com/spacex-wins-5-new-space-station-cargo-missions-in-nasa-contract-estimated-at-700-million/

https://www.cnbc.com/2016/12/08/malaysias-independence-x-is-the-only-southeast-asian-team-in-google-lunar-xprize.html

MENGENAI PENGARANG

Pelajar sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam jurusan Fizik Gunaan.
Mempunyai minat dalam bidang kajian sains bahan di angkasa lepas.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

5 + 12 =